Raja Syed Safi Jamalullail

Raja Syed Safi Jamalullail
Raja Perlis ketiga
Raja Syed Alwi Jamalullail
Pemerintahan11 Mei 1897 - 29 Disember 1904
Pertabalan13 Mei 1897
Didahului olehRaja Syed Ahmad Jamalullail
Diikuti olehSyed Alwi ibni Syed Saffi Jamalullail
Kemangkatan29 Disember 1904(1904-12-29) (umur 42)
Istana Arau, Arau, Perlis
PemakamanMakam Diraja Arau
PasanganChe Wan Saadiah @ Michu
AnakandaSyed Alwi Jamalullail
Syed Hamzah Jamalullail
Syed Mahmud Jamalullail
Nama penuh
Syed Safi ibni Syed Alwi Jamalullail
KerabatWangsa Jamalullail
AyahandaSyed Alwi ibni Syed Ahmad Jamalullail
BondaWan Tam binti Dato’ Wan Ismail
AgamaIslam

Raja Syed Safi ibni Syed Alwi Jamalullail (Jawi: راج سيد صافي ابن سيد علوي جمال اليلcode: ms is deprecated ) atau Raja Syed Safi Jamalullail adalah Raja Perlis yang ketiga. Baginda mula menaiki takhta dari tahun 1897 hingga 1904. Baginda merupakan cucunda kepada raja sebelumnya, Raja Syed Ahmad.[1]

Kehidupan

Raja Syed Safi merupakan anak kepada Syed Alwi Jamalullail dan Wan Tam Dato' Wan Ismail. Ayahandanya merupakan putera tunggal kepada Raja Perlis kedua, Raja Syed Ahmad Jamalullail manakala bondanya merupakan anak kepada Dato' Paduka Laksamana Kedah.[2]

Ayahanda baginda, Syed Alwi telah mangkat pada tahun 1863 di Kuala Kedah lalu menimbulkan krisis pewarisan takhta Raja Perlis ketika itu. Akhirnya, Raja Syed Ahmad, nenda baginda telah merancang untuk menabalkan baginda sebagai pewaris takhta apabila Raja Syed Ahmad mangkat. Baginda kemudiannya telah dihantar ke Siam bagi mendapatkan pendidikan di Kota Bangkok.[1]

Di Istana Siam, baginda juga berkesempatan untuk bertugas sebagai Mahat Let atau ‘Budak Raja’. Baginda juga mahir bertutur dan menulis dalam Bahasa Siam, arif berkenaan urusan pentadbiran serta lebih akrab dengan Kerajaan Diraja Siam setelah mendapatkan pendidikan di sana. Semasa pemerintahan nendanya, baginda telah berjaya membuka sekolah pertama di Perlis iaitu Sekolah Melayu Arau.[1]

Baginda telah berkahwin dengan Che Wan Saadiah, anak kepada keluarga Perdana Menteri Kerajaan Siam yang bernama Kelahom. Nama asalnya ialah Michu.[3] Baginda dikurniakan beberapa orang anak termasuklah Syed Alwi, Syed Hamzah dan Syed Mahmud.

Pemerintahan

Baginda mula menaiki takhta semasa berusia 35 tahun, selepas kemangkatan nendanya Raja Syed Ahmad pada tahun 1897. Baginda telah ditabal oleh Raja Chulalongkorn di Bangkok dan diberi gelaran "Phya WisitRam Wuwisit Asmara Phya Perlis".[4] Baginda telah melantik adindanya yang sebonda iaitu Syed Salim Ibni Syed Muhammad al-Jafri sebagai menteri kanan bergelar Luang Sakda dan juga para pembesar lain seperti Ketua Rakyat, Hakim Mahkamah Besar, Hakim Mahkamah Kecil, Pemegang Khazanah dan Wang Negeri, Penghulu Bunga Emas, Ketua Rakyat di Tepi Laut dan Ketua Pejabat Tanah.[2]

Pertikaian sempadan

Semasa awal pemerintahan baginda, telah berlaku pertikaian sempadan antara Perlis dengan Setul yang ditadbir Ku Din Ku Meh. Pertikaian sempadan ini diselesaikan oleh Kerajaan Siam menerusi pembinaan tembok tanah berhampiran Puju, utara Kampung Wai, Kuala Perlis semasa pemerintahan Raja Syed Alwi Jamalullail. Tembok ini berfungsi sebagai pembatas antara kedua-dua negeri ini.[2]

Tuntutan Kedah

Pada tahun 1897, Kesultanan Kedah cuba mengembalikan Perlis sebagai daerah dalam Kesultanan Kedah. Percubaan ini berlaku sebaik sahaja kemangkatan Raja Syed Ahmad Jamalullail. Meskipun disokong oleh Phya Tipkosa iaitu Pesuruhjaya Negeri-negeri Naungan Siam Sebelah Barat, tuntutan ini telah ditolak oleh Raja Chulalongkorn. Seterusnya, Kesultanan Kedah mencuba lagi untuk menghilangkan identiti Perlis sebagai sebuah kerajaan yang tersendiri. Asas tuntutan ini didasarkan kepada perlaksanaan Sistem Thesaphiban oleh Kerajaan Siam. Melalui sistem ini, Sultan Abdul Hamid Halim Shah telah dilantik oleh Raja Chulalongkorn sebagai Pesuruhjaya Monthon Saiburi yang bertanggungjawab kepada Kedah, Perlis dan Setul mulai 17 Mei 1897. Menerusi sistem ini, Kesultanan Kedah menganggap Perlis sudah dipulangkan kepada Kedah dan statusnya sebagai sebuah negeri dimansuhkan.

Untuk melancarkan pengembalian Perlis, Kesultanan Kedah telah menghantar Syed Mansur al-Jafri ke Arau untuk menyelaraskan pentadbiran Perlis dengan Kedah. Bagi menghadapi situasi ini, Raja Syed Safi Jamalullail dan pembesar-pembesar Perlis telah memulaukan kerja-kerja pentadbiran yang dikemukakan oleh Syed Mansur. Dato’ Perdana Menteri Wan Mat Saman turut datang sendiri ke Arau untuk mengemukakan tuntutan. Namun, tuntutan Kesultanan Kedah ini ditentang hebat oleh Raja Syed Safi Jamalullail yang bertegas menunjukkan Surat Tera dan alat kebesaran diraja yang dikurniakan kepada baginda oleh Raja Chulalongkorn.

Sebagai tindak balas, Raja Syed Safi Jamalullail telah mengutuskan menterinya Syed Salim ibni Syed Muhammad al-Jafri ke Bangkok untuk melaporkan tuntutan Kesultanan Kedah terhadap Kerajaan Perlis. Raja Syed Safi Jamalullail juga menerangkan konflik yang berlaku ketika mengadap Raja Chulalongkorn di Pulau Pinang sekembalinya dari lawatan ke Eropah. Sebagai penyelesaian, Raja Chulalongkorn telah mengeluarkan sepucuk surat yang mengesahkan hak Raja Syed Safi Jamalullail dan Wangsa Jamalullail kepada takhta Kerajaan Perlis. Kemudian pada awal tahun 1899, Raja Syed Safi Jamalullail telah menerima cop mohor yang baru daripada Raja Chulalongkorn. Pengurniaan cop mohor ini disokong oleh Putera Damrong Rajanuphab selaku Pesuruhjaya Negeri-negeri Naungan Siam ketika itu. Akhirnya, pengurniaan cop mohor ini telah menamatkan tuntutan Kesultanan Kedah terhadap kerajaan Perlis.[2]

Pembangunan negeri

Pelbagai usaha pembangunan telah dilaksanakan ketika pemerintahan Raja Syed Safi Jamalullail. Pemerintahan baginda telah berjaya membina jaringan jalan raya, terusan dan tali air di seluruh negeri. Baginda juga telah membina sebuah pasar tetap yang dinamakan ‘Pekan Baru’ di Kangar bagi menaik taraf perniagaan orang Melayu Perlis. Dalam sektor pendidikan pula, baginda telah membina beberapa sekolah di Kangar dan Kuala Perlis. Baginda juga membuka sebuah pekan baru di Kampung Paya dan nenbuka Taman Hiburan untuk rakyat berhibur selepas menuai padi. Sebuah istana yang dinamakan Tandiap turut didirikan untuk baginda bersemayam sementara baginda berhenti rehat di pekan baru ini. Baginda juga memperkenalkan pakaian ala Barat di Perlis dengan memadankan seluar dan baju kot ala Barat dengan pemakaian songkok.[2][4]

Pada 22 Syawal 1322 bersamaan 29 Disember 1904, Raja Syed Safi Jamalullail mangkat di Istana Arau, setelah memerintah Perlis kira-kira lapan tahun. Baginda dimakamkan di kawasan Makam Diraja Arau.[4] Pemerintahan baginda diwarisi oleh putera baginda, Raja Syed Alwi Jamalullail.

Rujukan

  1. ^ a b c "Salasilah Diraja". dymm.perlis.gov.my. Pejabat DYMM Tuanku Raja Perlis. 13 April 2017. m/s. 3. Dicapai pada 24 Jun 2024.
  2. ^ a b c d e "Salasilah Diraja". dymm.perlis.gov.my. Pejabat DYMM Tuanku Raja Perlis. 13 April 2017. m/s. 4. Dicapai pada 24 Jun 2024.
  3. ^ "Salasilah Diraja". dymm.perlis.gov.my. Pejabat DYMM Tuanku Raja Perlis. 13 April 2017. m/s. 5. Dicapai pada 24 Jun 2024.
  4. ^ a b c F.I, Rejab (1993). "SEJARAH PEMERINTAHAN TUANKU RAJA SYED SAFFI JAMALULLAIL" (PDF). Jurnal Warisan Indera Kayangan Bil 5 - 1993.
Didahului oleh
Raja Syed Ahmad Jamalullail
Raja Perlis III
11 Mei 1897 – 29 Disember 1904
Diikuti oleh:
Raja Syed Alwi Jamalullail